Tuesday, July 19, 2011

Tabahkanlah Hati Kami


Sejak 3 bulan kebelakangan ini, hidup kami menjadi semakin kritikal. Perasaan masing-masing seperti berkecamuk dan semakin tertekan. Kami tidak dapat menanggung beban dan pelbagai ujian telah datang sehingga kadangkala hati kami menjadi lemah dan kosong. Hati kami menjadi terumbang-ambing seperti hilang arah. Kami sedar dan kami tahu, Allah SWT sedang menguji hidup kami. Semasa kami leka dan lalai dengan hidup kami, kami rasakan dunia ini seperti milik kami. Apa saja keperluan dan kehendak kami, ditunaikan. Dan kami sedar dan kami tahu, Allah SWT ingin menganurahkan kami sesuatu hadiah yang bernilai.


Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.” (Hadis Riwayat Muslim)



Huraiannya :




Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan.


Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya larangan-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan.


Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya.


Sebab itu kita selaku orang mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-dua-nya (kebahagiaan dunia dan akhirat).


Namun sekiranya kita hanya mengutamakan kehidupan dunia dan melupakan akhirat, maka Allah hanya akan memberikan satu kenikmatan sahaja iaitu dunia semata. Sedangkan di akhirat kelak kita mendapat kerugian yang banyak.

*** Kata-kata hikmah :
        -  Jika kamu leka dengan dunia dan kamu lupakan akhirat, Tuhan akan beri kamu kenikmatan dunia sebagai syurga hidup kamu. Jika kamu telah menyesal, bersabarlah bahawa ujian Tuhan itu untuk mereka yang pertahankan keimanannya dan sesungguhnya kesudahan yang elok hanya bagi orang-orang yang bersabar.

No comments: